Tuesday, May 30, 2017

RINGKASAN


Surah An-Nas adalah surah terakhir iaitu yang ke 114 setelah Surah Al-Falaq dalam Al-Quran. Ia terdiri daripada enam ayat dan tergolong dalam surah Makkiyyah (turun sebelum hijrah). Nama "An-Nas" yang bermaksud manusia diambil dari perkataan "An-Nas" yang disebut pada setiap akhir ayat surah ini.

Surah ini pendek dan ringkas namun membawa erti mendalam tentang perlunya manusia kepada Allah sebagai pelindung mutlak dari kejahatan syaitan durjana. Iaitu ia menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari golongan syaitan, baik yang berasal dari golongan manusia atau pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.

Monday, May 29, 2017

SURAH AN-NAS


PENGENALAN


Dalam  surah Al-Falaq sebelum ini, kita diajar untuk meminta perlindungan dari yang ada hasad dengki kepada kita. Sekarang, kita pun tahu, siapakah yang paling ada dengki dan hasad dengan manusia ? Itulah SYAITAN yang memang dari dulu lagi dengki kerana Allah menaikkan Adam dan anak cucunya sebagai Khalifah dimukabumi. Jadi yang pertama perlindungan yang kita minta adalah dari mereka. Dan Surah An-Nas ini tentang permohonan perlindungan kepada Allah dari syaitan.

Bukan sahaja syaitan itu dengki dengan kita, tapi kedengkian manusia terhadap manusia lain adalah hasil hasutan syaitan juga. Merekalah yang membisikkan kata-kata yang menyebabkan rasa irihati timbul dalam diri manusia. Syaitan akan berkata : "Kau tengok orang tu, kenapa dia naik pangkat tapi kau tak naik pangkat ha? Apa bagusnya dia?" Dan hasutan-hasutan yang seumpama dengannya.



Sebelum ini, kita telah belajar tafsir Surah Al-Falaq. Ada beberapa kaitan antara surah Al-Falaq dan Surah An-Nas ini :

  • Kalau Surah Al-Falaq, ianya adalah tentang gangguan dari luar dan Surah An-Nas ini pula adalah gangguan yang sudah masuk kedalam diri kita.
  • Surah Al-Falaq adalah tentang perkara-perkara yang diluar kawalan kita contohnya makhluk lain, keburukan waktu malam, sihir dan juga orang yang hasad terhadap kita. Tapi Surah An-Nas ini adalah tentang sesuatu yang dalam kawalan kita. Kerana walaupun hasutan itu datang dari syaitan, tapi kita ada kawalan samada untuk ikut hasutan itu atau melawannya dan tidak melakukan apa-apa. Kita diajar supaya jangan ikut apa yang dihasut oleh syaitan itu. Jadi tanggungjawab adalah pada kita. Kalau kita melakukan perkara yang salah, takkan kita nak gunakan alasan 'syaitan yang hasut saya', bukan?
  • Keburukan yang dimaksudkan dalam Surah Al-Falaq adalah keburukan luaran. Tapi keburukan yang disebut dalam Surah An-Nas adalah dalaman iaitu serangan terhadap agama kita. Maka bahaya yang terkandung dalam Surah An-Nas ini lebih berat.
  • Ada perbezaan dalam susunan dalam Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Sebelum itu, kita kena faham beberapa terma yang berkaitan iaitu :
  • Musta'az bihi - tempat kita minta perlindungan - dalam kedua-dua surah itu, kita meminta perlindungan kepada Allah.
  • Musta'az minhu - daripada apakah kita minta Allah lindungi kita. Kita hendak Allah lindungkan kita dari apa?
Dalam surah Al-Falaq, ada satu sahaja musta'az bihi dan banyak musta'az minhu - dari keburukan makhluk, malam, sihir dan hasad. Sedangkan dalam surah An-Nas ini, ada banyak disebut musta'az bihi dan satu sahaja musta'az minhu - syaitan dan bisikannya. Ini akan dibincangkan dengan panjang lebar nanti dalam tafsir surah An-Nas ini nanti.

Dalam Surah Al-Falaq, kita belajar memohon perlindungan dari hasad dengki dan sihir. Syaitanlah yang banyak terlibat dalam menyebabkan manusia jadi hasad dan merekalah yang mengajar sihir kepada manusia.